Islamic Widget

As-Syahadah

Wednesday, December 2, 2009

Tundukkan Hati

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah selepas pulang ke kampung dapatlah jugak sedikit sebanyak ilmu yang ingin dikongsikan bersama pembaca-pembaca sekalian. Antara ilmu yang saya dapat ialah selepas membeli sebuah buku karangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertajuk “Tundukkan Hati”. Selepas membelek beberapa ketika bersama sahabat di Syarikat Jaafar Rawas yang terkenal dengan jualan buku-buku agama di Kelantan. Saya membaca sinopsis tentang buku ini yang menarik minat saya untuk membelinya, yang mana berkaitan dengan hati yang berdasarkan sumber-sumber sahih.

Selepas membeli, saya membelek-belek melihat isi kandungan, kandungan-kandungannya terus menarik minat saya untuk terus membaca. Antara hasil bacaan yang saya dapat ialah tulisan yang terdapat pada sepaut kata yang cukup memberi kesan kepada diri ini. Terdapat kisah yang memberi sedikit sebanyak pengajaran kepada diri ini dan insyallah memberi sedikit input kepada pembaca sekalian. Kisah yang ‘moral value’ nya tentang taqwa, dimana kisah ini dipetik dari kitab karangan Imam Ghazali iaitu Mukasyafah Al-Qulub pada muka surat 7.

Dikisahkan bahawa terdapat seorang lelaki yang telah jatuh cinta kepada seorang wanita. Apabila wanita tersebut keluar atas suatu keperluan maka pergilah lelaki itu untuk bersamanya. Sesampainya di sebuah kampung yang sunyi, si lelaki telah menyampaikan hasrat hatinya kepada wanita tersebut. Dan wanita tersebut menyahut: “Lihat,apakah semua orang telah tidur?” Maka dengan menyangka bahawa hasrat hatinya hendak dikabulkan, si lelaki telah menjenguk kawasan sekitar dan setelah jelas bahawa semua orang telah tidur, segera dia menghampiri wanita itu seraya dia berkata: “Benar, semua orang telah tidur.” Lalu wanita itu bertanya: “bagaimana pula pendapatmu tentang ALLAH? Adakah saat ini DIA juga tidur?” lelaki itu menjawab: “sesungguhnya ALLAH tidak pernah tidur.” Wanita itu lalu berkata: “ sesungguhnya Zat yang tidak pernah tidur akan melihat kita meskipun semua manusia tidur lelap dan tidak melihat kita. Oleh sebab itu, DIA lebih berhak kita takuti.” Dengan segera lelaki itu meninggalkan perempuan tersebut kerana takutkan ALLAH. Dia segera pulang ke rumahnya dan bertaubat.

Pembaca sekalian, pernahkah kita terfikir bahawa kita di tempat pemuda tadi? Sanggup beliau tinggalkan maksiat kerana takutkan ALLAH rabbul ‘izzati, adakah kita sanggup meninggalkan maksiat yang kita sedang lakukan kerana takutkanNYA? Tepuk dada tanya iman. Bila sentuh bab taqwa, saya teringat khutbah ‘aidiladha yang baru sahaja berlalu ada menyebut tentang taqwa pada muqaddimah khutbah tersebut yang mana Saidina Umar AL Khattab r.a, telah bertanya kepada seorang sahabat iaitu ubai bin ka’ab r.a tentang taqwa (pengertian taqwa). Ubai bertanya kepada Umar: “apakah kamu pernah melalui jalan yang berduri?” Umar menjawab: “pernah.” Ubai berkata: “apakah yang kamu lakukan apabila melalui jalan tersebut?” Umar menjawab: “aku melalui jalan tersebut dengan penuh hati-hati dan penuh waspada” balas Ubai: “demikian itulah taqwa”. Dengan kata-kata tersebut dapatlah kita faham bahawa di dalam kita menghadapi kehidupan dunia kita hendaklah berhati-hati agar tidak terjerumus dengan godaan musuh-musuh kita yang terdiri daripada hawa nafsu, syaitan, golongan kuffar dan munafiqin , golongan yang melakukan kezaliman dan kemungkaran.

Apa yang baik datang dari ALLAH apa yang buruk datang dari diri penulis itu sendiri, semoga sama-sama dapat manfaat dari ape yang saya dapat ni. Dan kita boleh sama-sama berusaha untuk mengubah diri masing-masing.

No comments: