Islamic Widget

As-Syahadah

Friday, December 18, 2009

HIJRAH DAN PENGORBANAN NABI MUHAMMAD SAW……



DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan kita nabi Muhammad SAW dan juga keluarga baginda, para sahabat baginda, serta sesiapa sahaja yang mengikut petunjuk mereka sehingga kehari kiamat. Dan sama-sama kita bersyukur ke hadrat ilahi kerana masih lagi member kesempatan kepada saya untuk berkongsi sedikit ilmu bersama sahabat dan sahabiah sekalian.

Pada kuliah jumaat yang lepas, kuliah yang diberikan oleh Ustaz Asri, menyentuh tentang hijrah Nabi yang bermula dari dakwah Nabi di kota Mekah, penuh dengan mehnah dan tribulasi yang melanda Nabi kita SAW. Baginda mendapat tentangan yang begitu hebat dari pimpinan quraisy kerana baginda membawa Islam. Sebab mereka menentang bukan kerana Islam itu salah tetapi sebab islam membuatkan mereka rugi, zaman sebelum Islam mereka mengaut keuntungan dari berhala-berhala yang terdapat di sekitar kaabah, bila nabi SAW datang dan menyuruh menyembah ALLAH maka mereka menentang kerana keuntungan yang mereka dapat selama ini terputus kerana ajaran Nabi Muhammad SAW.



Sehingga sampai tahap pemulauan terhadap orang-orang islam, dan mereka keluar dari kota mekah dan berkampung di luar kota, tetapi pemulauan itu berakhir dalam masa beberapa tahun. Tetapi pakatan musyrikin masih belum berpuas hati dan merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW kerana mendapat idea dari iblis yang berupa manusia. Tetapi mereka tidak berjaya untuk membunuh baginda, baginda berhijrah dengan penuh strategi dan berhati-hati. Sesamapai di kota madinah baginda disambut dengan meriah oleh penduduk madinah. Dan baginda di angkat menjadi pemimpin madinah. Itulah serba ringkas tentang hijrah Nabi Muhammad SAW.

Tetapi dalam mendengar kuliah saya terfikir, sejauh mana kesyukuran diriku terhadap nikmat yang ALLAH berikan kepadaku, iaitu nikmat untuk menjadi umat islam, menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Baginda bergadai nyawa untuk menyampaikan Islam, tetapi kebanyakan umat Islam sekarang lebih suka kepada barat, style pakaian secara barat, colour rambut style barat, semua berkaitan islam dipandang remeh. Dan saya bertanya kepada diri sendiri, sejauh mana sumbangan diri ini kepada Islam? Dalam sehari, berapa kali kita berselawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW? Dimanakah tanda syukur kita kepada ALLAH yang memberi nikmat kepada kita?

Semua soalan diatas, sahabat dan sahabiah boleh mnjawab dengan sendiri, saya bukan nak kata diri ini hebat tetapi sekadar ingatan kepada saudara saudari sekalian, kerana manusia sering lupa, sedangkan kawan saya yang beragama Buddha pun mengingatkan tentang maal hijrah, terkejut bercampur malu, mesej dari kawan saya yang menyuruh buang segala sifat jahat dan buruk. Adakah Islam akan kembali gemilang? Jika lihat pada umat islam yang melayu makin ramai yang memandang remeh kepada islam. Jika dunia ini ibarat lautan, ramailah manusia yang lemas jika tidak mempunyai taqwa sebagai bahtera, iman sebagai layar, dan Islam sebagai nakhoda. Sama-sama kita muhasabah balik diri kita wahai ikwan wa akhawaat sekalian.

Sampai disini dulu posting kali ini, apa yang baik datang dari ALLAH, apa yang kurang dan lemah itu datang dari diri penulis itu sendiri. Segala kekurangan boleh ditambah oleh sahabat-sahabat yang ingin berkongsi. Semoga ALLAH memberkati kehidupan kita, Aminn….

Wassalam.

Saturday, December 12, 2009

Nikmat yang kian dilupakan……..





Dengan Nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada ALLAH SWT kerana masih lagi memberi peluang kepada kita untuk berkongsi ilmu yang dibekalkan walaupun sedikit tetapi jika sama-sama kita manfaatkannya insyallah keberkesanan ilmu itu lebih baik jika di pendam didalam diri sendiri.

Apabila menyebut nikmat, saya ada mendengar kuliah jumaat yang disampaikan oleh ustaz Abdul Rahman imam bagi sebuah kampung di Kelantan, beliau membaca tafsir surah al Fatihah, dan menghuraikan setiap ayat dari surah Al fatihah, ayat yang pertama dihuraikan ialah “Dengan nama ALLAH yang Amat Murah lagi Amat mengasihani”. Jadi nikmat yang kita kecapi hari ini adalah kerana Maha Pemurahnya ALLAH kepada kita manusia dan terlebih Amat Murah ALLAH kepada orang mukmin yang bertaqwa.

Kita sebagai makluk yang dicipta oleh ALLAH sepatutnya bersyukur dengan nikmat hidup yang ALLAH berikan kepada kita, belum nikmat iman, nikmat islam hanya nikmat hidup itu sendiri dah cukup banyak hutang kita dengan ALLAH. Jika ALLAH bersifat berkira, udara yang kita sedut ni kena bayar seperti di hospital katakana satu tangki RM50, tapi berapa tong sehari untuk kita sedut untuk membolehkan kita buat bermacam-macam kerja. Tidak ramai orang melihat ia satu nikmat dari ALLAH untuk kita, walaupun siapa pun kita bila namanya manusia, x terlepas dari nikmat hidup. Jadi muhasabah diri balik jika selama ini kita belum bersyukur, bersyukurlah, jika selama ini sudah bersyukur, tambahkanlah kesyukuran itu walaupun nikmat itu tidak mampu kita balas sepenuhnya.



Tambahan pula, dia ada menyebut satu riwayat yang berkaitan dengan syurga, dikisahkan terdapat seorang hamba ALLAH yang meninggal dan ALLAH meletakkannya kedalam syurga dengan RahmatNYA, tetapi hamba ALLAH tadi merasakan amalan yang dilakukan cukup banyak untuk dia dimasukkan ke dalam syurga dan meminta kepada malaikat, aku hendak kesyurga dengan amalan yang aku lakukan bukan dengan rahmat ALLAH, malaikat mengadu kepada ALLAH, kemudia ALLAH menyuruh malaikat mengambil sebiji mata dari hamba ALLAH itu untuk ditimbang dengan amalan yang dilakukan oleh hamba ALLAH tersebut. Timbang punya timbang, timbangan mata lebih berat berbanding timbangan amalan hamba ALLAH itu, maka apabila hendak dimasukkan kedalam neraka hamba ALLAH menarik balik permintaannya dan dimasukkan kedalam syurga dengan rahmat ALLAH.

Jadi sidang pembaca sekalian, dari kisah di atas dapatlah kita tahu bahawa walaupun sebanyak mana amalan kita tidak mampu untuk membalas nikmat ALLAH, jadi janganlah kerana banyak amalan kita jadi bongkak, riak dan meletakkan sifat mazmumah dalam diri kita. Jadi beramallah untuk mencari rahmat ALLAH bukann untuk menandingi manusia lain. Sama-sama kita muhasabah balik dimana pergantungan kita dengan ALLAH SWT, apabila mendapat sedikit ujian, terlupa bahawa itu qada’dan qadar dari ALLAH SWT. Kita lupa dengan ALLAH yang kita nampak hanya kebencian apabila ditimpa sesuatu ujian. Ada satu kisah yang boleh diambil iktibar oleh sahabat pembaca sekalian, yang mana seorang perempuan yang telah ditinggalkan oleh seseorang yang sangat dicintainya, yang mana jika kita lihat dari konteks islam ia merupakan qada’ dan qadar dari ALLAH untuknya, tetapi disebabkan terlampau emosi, dia lupa pergantungan dia dengan ALLAH, menyebabkan dia rasa nak mati, hidup sudah tidak berguna, ada yang hendak bunuh diri kerana lupa dengan yang Amat Mengasihi kita sejak dari kita keluar dari perut ibu. Ini kes putus cinta, jika kita lihat kes harta, bila diberi kesenangan dia bersyukur kepada ALLAH tetapi bila diberi kesusahan dia menyalahkan ALLAH.


Pembaca sekalian, ingatlah bahawa ujian ini boleh datang dari 2 bentuk iaitu dari bentuk kesusahan dan dari bentuk kesenangan, jadi nak tak nak kita mesti dalam keadaan bersabar dan bersyukur, bila dapat susah bersabar dan bersyukur, bila dapat senang bersabar dan bersyukur. Jadi jika, ditambah dengan nikmat islam dan iman cukup untuk buat kita berfikir bahawa kita hidup didunia ini hanya kerana ALLAH, seperti mana yang kita janjikan dalam solat kita “inna solati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil ‘alamin” yang bermaksud “sesungguhnya solat aku, ibadah aku, hidup aku dan mati aku kerana ALLAH, tuhan seluruh alam” jadi setakat mana kita bersyukur dengan nikmat ALLAH yang Maha Pemurah sama-sama kita muhasabah diri balik.

Jadi setakat ini dulu daripada saya, apa yang baik datang daripada ALLAH ape yang buruk, yang lemah, yang hina datang dari diri penulis itu sendiri. Jika ada terkasar bahasa, ada tulisan yang menyinggung perasaan atau menguris hati pembaca harap dimaafkan, kerana posting kali ini bukan untuk mengatakan siapa bersyukur atau tidak tetapi untuk muhasabah diri penulis dan sahabat pembaca sekalian. Sama-samalh kita ambil manfaat dari posting kali ini.

Wassalam.

Sunday, December 6, 2009

Politik dan Mahasiswa.



Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat ilahi kerana masih lagi memberi nikmat kepada kita sebagai hambaNYA, terutama sekali nikmat hidup, islam dan iman. DIA masih lagi memberi peluang kepada kita untuk sama-sama membetulkan kesilapan yang pernah dilakukan. Tetapi adakah kita sedar dengan kesalahan yang kita lakukan? Fikir-fikirkanlah kerana makin lama kita hidup di dunia makin kita hampir kepada hari penentuan yang mana segala yang kita lakukan akan dikira samada baik atau sebaliknya. Posting kali ini lebih kepada politik, yang mana jika kita tengok di Malaysia sendiri makin kucar kacir. Jadi sama-sama kita fikirkan menggunakan akal yang waras yang telah dikurniakan olehNYA kepada kita manusia.

Sebelum meneruskan menulis posting kali ini, saya mengucapkan terima kasih kepada semua sahabat yang menerima mesej yang mengandungi soalan berbaur politik kerana memberi kerjasama yang x berbelah bagi kepada saya, oleh kerana merekalah, dapat saya kaitkan isu politik di Malaysia dengan mahasiswa walaupun bukan secara menyeluruh tetapi sekadar mencari kebarangkalian dikalangan mahasiswa tentang politik yang diperhangatkan oleh media baru-baru ni. Hasil survey dari kalangan mahasiswa, ramai di kalangan mahasiswa yang tidak ambil peduli tentang apa yang berlaku, ada yang memberi pendapat yang baik, ada yang tidak membalas langsung, dan ada yang tidak faham soalan, mungkin kesilapan saya sendiri jadi kepada sahabat yang tidak faham soalan, saya mintak maaf. Soalan yang saya kemukakan dikalangan sahabat berbunyi apakah pendapat anda tentang doa tuan guru terhadap PM kita? Adakah wajar tuan guru letak jawatan kerana doa? Sama-samalah menjawabnya dengan berbekalkan ilmu yang ada.

Doa yang tuan guru doakan untuk najib ialah "Ya Allah ya Tuhanku, tolong buka hati Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya Perdana Menteri Malaysia perbetulkan fikirannya (lalu) beri (royalti minyak) petrol (milik) Kelantan), Minta perbetulkan pandangan Najib kalau dia berniat baik (dan) kalau berniat jahat (maka) musnahkannya. Kalau kamu (Najib) jahat, takkan nak suruh saya doa ya Allah, kau tolonglah orang yang jahat." Apa yang anda dapat faham dari doa tersebut? Dari kefahaman saya sebagai seorang yang diberi akal untuk berfikir, Tuan Guru hanya meminta apa yang sepatutnya, apa yang menjadi hak rakyat, adakah Tuan Guru meminta untuk kepentingan beliau? Tentulah tidak, semuanya untuk rakyat Kelantan dan Kelantan masih lagi satu daripada negeri yang terdapat di Malaysia. Jika PM kita berniat baik apa yang nak ditakutkan melainkan jika beliau berniat sebaliknya. Dan jika hak royalti Kelantan tidak di beri barulah dimusnahkan niatnya itu.

Saya terlepas peluang untuk menyertai Perhimpunan Raksaksa yang diadakan di Medan Ilmu bagi menyokong kepimpinan Tuan Guru disebabkan masalah pengangkutan. Tetapi para pembaca boleh dapatkan di youtube, untuk penjelasan terperinci tentang doa tersebut, sebelum kita menyalahkan orang lain, cari bukti yang cukup kukuh untuk mengatakan bahawa benda yang di buat salah dan jika boleh minta penjelasan yang jelas dari pelaku itu sendiri. Saya cukup tertarik dengan hasil bacaan saya dari blog seorang ustaz yang lengkap dengan dalil yang sahih tentang isu doa Tuan Guru dan cukup untuk buat kita berfikir bahawa kiamat sudah semakin hampir.

Inilah hasil yang saya dapat dari blog ustaz tersebut: (Usaha berterusan memburukkan imej Islam ini dilakukan terus-terusan sehingga berjangkit ke dalam Negara-negara umat Islam sendiri dan mungkin inilah yang dimahukan oleh musuh Islam. Hari ini mereka yang mengepalai negara-negara Islam tanpa disedari telah menuruti jejak Yahudi dan Amerika Syarikat apabila menghalakan serangan kepada tokoh-tokoh ulama dan para pendakwah serta gerakan Islam yang dituduh membawa ajaran salah dan menggugat keamanan negara. Tokoh-tokoh Islam cuba digambarkan sebagai keterlaluan dan tidak berakhlak sedangkan dalam masa yang sama para menteri dan pemimpin yang jelas terlibat dengan rasuah, mengumpul kekayaan negara malah ada yang terlibat dengan konspirasi pembunuhan digambarkan sebagai pemimpin bertaraf dunia dan sangat prihatin kepada rakyat. Gerakan Islam dan Parti Islam dimomokkan sebagai hilang pengaruh, tiada prinsip dan membawa rakyat ke belakang manakala kumpulan berideologikan fahaman kebangsaan, liberal dan sekular adalah sangat baik dan berjuang demi rakyat.

Agaknya inilah juga yang sedang berlaku di dalam negara kita, saban waktu dan hari media massa memainkan isu memburuk-burukkan YAB Menteri Besar Kelantan. Pada mulanya berminat juga mengikuti pelbagai isu yang dibongkarkan, tetapi akhirnya ia menjadi muak kerana ia sudah menjadi agak keterlaluan. Umpama makan nasi, jika terlalu banyak dan lauk yang sama pula setiap hari akhirnya akan jadi meloya dan muntah! Jika tidak suka dengan beliaupun cukuplah sekadar dengan memintanya berundur , bukannya membelasahnya tanpa adab dan etika. Jika ada orang yang mendakwa Nik Aziz bukan ulama, bukan tokoh agama dan tidak baik lakunya, maka orang yang mendakwa itu seharusnya dilihat lebih baik dan sewajibnya mengamalkan agama dalam diri sendiri, isteri, keluarga dan kumpulannya. Tetapi jika cuba mendakwa MB Kelantan mengamalkan kronisme, mengumpul kekayaan dan tidak Islamik sedangkan orang yang berkata demikian 2 x 5 atau mungkin lebih hodoh lakunya ia hanya seperti kata pepatah “Mengata dulang paku serpih mengata orang awak yang lebih”.

Sabda Rasulullah SAW:

Ertinya:Daripada Aisyah r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik". H.R. Thabrani

Dalam negara kita nampaknya pemimpin yang hidup mewah, mempunyai rumah bernilai jutaan ringgit, isteri mendedah aurat dan berpakaian mahal serta bertabarujj, kurang ke Masjid tetapi banyak menghadiri majlis-majlis berprestij di hotel-hotel lima bintang, memiliki deretan kenderaan mewah dan hidup bersenang lenang dianggap lebih mulia dari seorang pemimpin yang sederhana, rumah sederhana, tiada deretan kenderaan mewah, banyak masanya di Masjid bersama orang kampung, mengajar agama dan kuat ibadatnya. Malang seribu kali malang jika inilah budaya yang sedang ditanamkan oleh media massa kepada rakyat Malaysia hari ini, kerana jika ia benar-benar diterima sebagai satu pegangan maka akan rosak binasalah negara kita pada masa akan datang! Agaknya kita kena banyak membaca sejarah pemimpin agung Islam zaman silam seperti Saidina Umar r.a atau Khalifah Umar bin Abdul Aziz, kemudian barulah kita membuat penilaian kepada situasi yang berlaku sekarang supaya kita tidak menjadi pak turut kepada Yahudi dan AS yang suka hati melihat tingkah laku kita yang pastinya amat menguntungkan kempen mereka! Juga kita bimbang tersilap membenci dan berlaku zalim kepada seorang manusia sedangkan ia disayangi oleh para Malaikat di langit....

Sabda Rasulullah SAW:

Dari Sahl bin Saad as-Saaidi r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; 'Ya Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya)." .H.R Ahmad

Catatan Zuridan Mohd Daud )

Sama-sama kita ambil iktibar, dan manfaat dari posting kali ini, apa yang baik datang daripada ALLAH apa yang buruk dan yang hina itu datang dari diri penulis itu sendiri.

Wassalam.

Wednesday, December 2, 2009

Tundukkan Hati

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah selepas pulang ke kampung dapatlah jugak sedikit sebanyak ilmu yang ingin dikongsikan bersama pembaca-pembaca sekalian. Antara ilmu yang saya dapat ialah selepas membeli sebuah buku karangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertajuk “Tundukkan Hati”. Selepas membelek beberapa ketika bersama sahabat di Syarikat Jaafar Rawas yang terkenal dengan jualan buku-buku agama di Kelantan. Saya membaca sinopsis tentang buku ini yang menarik minat saya untuk membelinya, yang mana berkaitan dengan hati yang berdasarkan sumber-sumber sahih.

Selepas membeli, saya membelek-belek melihat isi kandungan, kandungan-kandungannya terus menarik minat saya untuk terus membaca. Antara hasil bacaan yang saya dapat ialah tulisan yang terdapat pada sepaut kata yang cukup memberi kesan kepada diri ini. Terdapat kisah yang memberi sedikit sebanyak pengajaran kepada diri ini dan insyallah memberi sedikit input kepada pembaca sekalian. Kisah yang ‘moral value’ nya tentang taqwa, dimana kisah ini dipetik dari kitab karangan Imam Ghazali iaitu Mukasyafah Al-Qulub pada muka surat 7.

Dikisahkan bahawa terdapat seorang lelaki yang telah jatuh cinta kepada seorang wanita. Apabila wanita tersebut keluar atas suatu keperluan maka pergilah lelaki itu untuk bersamanya. Sesampainya di sebuah kampung yang sunyi, si lelaki telah menyampaikan hasrat hatinya kepada wanita tersebut. Dan wanita tersebut menyahut: “Lihat,apakah semua orang telah tidur?” Maka dengan menyangka bahawa hasrat hatinya hendak dikabulkan, si lelaki telah menjenguk kawasan sekitar dan setelah jelas bahawa semua orang telah tidur, segera dia menghampiri wanita itu seraya dia berkata: “Benar, semua orang telah tidur.” Lalu wanita itu bertanya: “bagaimana pula pendapatmu tentang ALLAH? Adakah saat ini DIA juga tidur?” lelaki itu menjawab: “sesungguhnya ALLAH tidak pernah tidur.” Wanita itu lalu berkata: “ sesungguhnya Zat yang tidak pernah tidur akan melihat kita meskipun semua manusia tidur lelap dan tidak melihat kita. Oleh sebab itu, DIA lebih berhak kita takuti.” Dengan segera lelaki itu meninggalkan perempuan tersebut kerana takutkan ALLAH. Dia segera pulang ke rumahnya dan bertaubat.

Pembaca sekalian, pernahkah kita terfikir bahawa kita di tempat pemuda tadi? Sanggup beliau tinggalkan maksiat kerana takutkan ALLAH rabbul ‘izzati, adakah kita sanggup meninggalkan maksiat yang kita sedang lakukan kerana takutkanNYA? Tepuk dada tanya iman. Bila sentuh bab taqwa, saya teringat khutbah ‘aidiladha yang baru sahaja berlalu ada menyebut tentang taqwa pada muqaddimah khutbah tersebut yang mana Saidina Umar AL Khattab r.a, telah bertanya kepada seorang sahabat iaitu ubai bin ka’ab r.a tentang taqwa (pengertian taqwa). Ubai bertanya kepada Umar: “apakah kamu pernah melalui jalan yang berduri?” Umar menjawab: “pernah.” Ubai berkata: “apakah yang kamu lakukan apabila melalui jalan tersebut?” Umar menjawab: “aku melalui jalan tersebut dengan penuh hati-hati dan penuh waspada” balas Ubai: “demikian itulah taqwa”. Dengan kata-kata tersebut dapatlah kita faham bahawa di dalam kita menghadapi kehidupan dunia kita hendaklah berhati-hati agar tidak terjerumus dengan godaan musuh-musuh kita yang terdiri daripada hawa nafsu, syaitan, golongan kuffar dan munafiqin , golongan yang melakukan kezaliman dan kemungkaran.

Apa yang baik datang dari ALLAH apa yang buruk datang dari diri penulis itu sendiri, semoga sama-sama dapat manfaat dari ape yang saya dapat ni. Dan kita boleh sama-sama berusaha untuk mengubah diri masing-masing.

Monday, November 16, 2009

"Hati sejahtera ialah hati orang yang beriman"




Dengan Nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah, selepas kesibukan exam, selepas kesibukan study last-last minit, dapat juga menghantar posting kali ini. Post kali ini sebagaimana yang diberitahu dalam posting yang lepas ialah tentang hati. Ada di antara pembaca yang tertunggu-tunggu untuk membaca apa kaitan hati dengan islam? Apa kaitan hati dengan ibadah? Apa kaitan hati tentang akhlak?, semua itu masih menjadi tanda tanya penulis sendiri sebelum menemui jawapannya. Kenapa hati ada kena mengena dengan kehidupan kita?

Hati dalam bahasa arab dinamakan qalbu. Dalam sabda Rasulullah ada menyebut bahawa hati merupakan system utama untuk akhlak. Yang mana mafhumnya : dalam tubuh terdapat seketul daging, apabila baik ia maka baik lah seluruh jasad dan apabila jahat ia maka jahatlah seluruh jasad, dan ketahuilah ia adalah hati. Qalbu juga dimaksudkan berbolak balik, ia juga berbolak balik sekelip mata, sebab itu ada doa yang diajarkan oleh Nabi kita untuk menetapkan hati kita iaitu “ALLAHumma Ya Muqallibal quluub thabbit qulubana ‘ala diinik wa ‘ala tho’atik” yang bermaksud ‘Wahai tuhan yang membalik balikan hati tetapkanlah hati kami dalam agamaMU dan dalam ketaatan kepada MU’. Disebabkan hati manusia ni mudah berubah disnilah perlu doa dan istiqamah(berterusan), sebab itu ALLAH lebih suka seseorang yang beramal sedikit tetapi istiqamah berbanding amal yang banyak tetapi hangat-hangat tahi ayam. Jadi biarlah amal itu sedikit demi sedikit tetapi berterusan.

Hati manusia apabila ia keras, tak boleh nak menerima nasihat, cakap tentnag kebaikan untuk tujuan menegur pun buat pekak badak, lebih keras dari batu, kerana sekeras-keras batu akan terhakis dek air yang setitik, tetapi manusia bila dah keras susah hendak lembut balik, oleh sebab itu Nabi ajar kita satu doa untuk perlembut balik hati iaitu “ALLAHUMMA layyin qalbi kama layyintal hadid li dawuud” yang bermaksud ‘wahai tuhan lembutkanlah hati aku sebagaimana kamu lembutkan besi kepada Nabi Daud’. Tetapi ada dikalangan kita apabila ditegur akan marah, apabila ditegur ego makin tinggi, jadi dimanakah kesabaran dalam hati manusia? Jika apa yang ditegur baik dengan kita maka ada baiknya kita menerima dengan hati yang terbuka dan jika apa yang dikatakan kepada kita merupakan fitnah hendaklah kita bersabar kerana sabar itu baik malah yang terbaik untuk meredakan hati yang tengah meruap.

Apabila bercakap tentang hati, kita akan terfikir perasaan sayang, benci, marah dan seumpamanya, yang mana sebelum posting ini saya ada menulis tentang cinta dan kemana patut dicurahkan, dimana cinta ALLAH dan analoginya tentang hati(rujuk posting lepas). Dimana hati itu ibarat gelas, tetapi bila gelas itu kotor bagaimana kita nak mencurahkan air?. Oleh sebab itulah hati perlukan pencucinya, sebagai contoh AL quran, terdapat satu kisah yang diceritakan kepada saya oleh sahabat(yang sekarang berada di Mesir) kisah ayah dan anak, dalam sebuah rumah terdapat seorang ayah dan anaknya, anaknya merupakan seorang yang berilmu dan menegur ayahnya tentang bacaan Al Quran yang memerlukan kefahaman untuk membacanya. Tetapi ayahnya membalas balik dengan menyuruh anaknya mengambil bakul lama yang berlubang, seterusnya pergi ke sungai dan bawa balik air sungai menggunakan bakul tersebut. Anaknya tanpa melawan mengikut apa yang disuruh, setiap kali air diambil dari sungai terus dibawa balik ke rumah dengan keadaan berlari-lari anak,sesampainya di rumah air dalam bakul kering, ayahnya menyuruh lagi sehinggalah si anak bertanya apa tujuan si ayah menyuruhnya melakukan perkara yang sia-sia, ayahnya menjawab, wahai anakku samalah seperti membaca alquran tetapi tidak memahami maksud ayat, cuba kamu lihat bakul yang tadi kotor, penuh dengan habuk bila dibasuh dengan air bakul itu Nampak lebih bersih dari sebelumnya dan untuk lebih bersih guna sabun. Barulah anak itu faham dan mengakui bahawa ilmunya hanya sedikit berbanding ayahnya. Benarlah jika kita berfikir AL-Quran itu air dan memahami Al-Quran merupakan sabun yang boleh membersihkan hati.

Dalam hati ada perasaan yang merupakan fitrah, kita nak marah, ada mak ayah kita ajar? Begini cara marah, begini cara benci, begini cara sedih, begini cara takut, dan seumpamanya. Kerana itulah hati manusia perlu dibaiki menggunakan manual yang diberi oleh PENCIPTA manusia melalui Nabi Muhammad SAW. Oleh disebabkan itu, manusia ini nak tak nak mesti terima islam sebagai cara hidup untuk terus selamat, samada di dunia mahupun akhirat, kerana itu kita mestilah yakin bahawa ALLAH lah yang menciptakan alam semesta dan mengeluarkan panduan penggunaan dunia untuk manusia kepada Nabi Muhammad SAW iaitu Al-Quran. Sepertimana handphone, mesin basuh, laptop, diberi manual untuk menggunakannya adakah dunia yang diciptakan ini tiada cara penggunaanya. Jadi kepada para pembaca, nak bersihkan hati perbanyakkan zikrullah(meningati ALLAH), dan perbanyakkan membaca kitab suci Al-Quran kerana didalam itulah cara hidup kita didunia bersama dengan Assunnah yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada kita, ummat yang paling beruntung. Sama-samalah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Ilahi kerana masih diberi ruang dan peluang untuk kita menikmati nikmat islam dan iman.

Jadi, sebelum mengakhiri posting kali ni saya mengucapkan semoga mendapat keputusan yang cemerlang dalam exam masing-masing dan yang paling utama persiapan untuk menghadapi “exam” dari ALLAH, dengan usaha kita sahaja tidak memadai untuk berjaya dengan kepuasan yang maksima tetapi beserta dengan keredhaan ALLAH jadi jangan lupa perbanyakkan solat hajat dan zikrullah. Sampai disini dulu, apa yang baik datang daripada ALLAH, apa yang kurang, yang buruk datang dari diri penulis sendiri. Dan segala kekurangan bolehlah di “top up” oleh sahabat-sahabat pembaca sekalian. Wassalam.


Saturday, November 7, 2009



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

MASA!!!!!! Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian……….

Alhamdulillah dalam post yang terbaru ini terdetik hati untuk menyambung sedikit ilmu tentang makrifatullah yang telah disebut dalam surah Al ‘Asr yang bermaksud demi masa. Surah inilah yang banyak ditazkirahkan oleh aku semasa di matrikulasi dulu, kebanyakannya dalam loghat Kelantan dan mungkin susah difahami oleh orang-orang bukan Kelantan. Jadi insyallah dalam penulisan kali ini aku akan menggunakan bahasa surat agar pembaca dapat memahami isi kandungannya.

Ayat pertama yang terdapat dalam surah al ‘asr adalah yang bermaksud demi masa. Pernahkah di antara kita terfikir, kenapa ALLAH bersumpah demi masa? Kenapa tidak demi wang? jadi aku ada mendengar sahabat aku yang merupakan pengerusi surau mengatakan bahawa masa itu makhluk dan ALLAH tidak berada dalam makhluk kerana ALLAH adalah KHALIQ(pencipta). Dalam kaedah nahu bahasa arab khaliq merupakan faa’il(pembuat) dan makhluk merupakan maf’ulun bih (yang kena buat). Jadi ALLAH bersumpah demi masa sebab manusia terikat dengannya, jika tiada masa ape akan jadi kepada kehidupan manusia? Waktu manakah beribadat? Waktu manakah bersuka ria? Waktu manakah hendak menuntut ilmu? Waktu manakah hendak menyampaikan? Fikir-fikirkanlah, apa yang ada di muka bumi ALLAH sudah cukup sempurna jika dibandingkan dengan kota fantasi yang dicipta manusia contohnya Disney world. Jadi wajarlah bagi ALLAH untuk bersumpah demi masa.

Manusia berkeinginan untuk ke Disney world, hendak mengetahui tentang ape yang berada disana tetapi ape yang ada muka bumi ALLAH di perlekehkan, disebabkan sudah terbiasa tengok. Pernahkah kita tergerak di hati kita untuk mengucap syukur dan pujian kepada ALLAH apabila kita melihat langit? Kenapa kita perlu bersyukur? Adakah kita pernah dengar langit runtuh menimpa manusia? Jadi selama kita hidup, langit tak pernah jatuh menimpa kita walau tiada satu tiang pun menyokongnya dimanakah kesyukuran kita? Kita tahu langit tiada tiang tetapi pernahkah kita mengucapkan hebatnya ALLAH, masya ALLAH. Jarang orang berfikir tentang benda-benda macam ni. Bagi sesetengah orang lebih baik aku berfikir tentang exam, tentang pointer yang bakal aku dapat, tentang bakal isteri atau suami yang bakal aku nikahi daripada aku berfikir tentang hebatnya ciptaan ALLAH. Seumur hidup kita tidak pernah kita dengar kapal terbang terhempas disebabkan terlanggar tiang langit. Jadi jika manusia mengatakan piramid boleh berdiri dengan satu tiang, sudah menjadi keajaiban dunia, bagi aku langit merupakan keajaiban yang ada di dunia pernah aku lihat.


masa ibarat pedang!!!!!!

Ayat kedua pula menceritakan tentang, yang bermaksud “sesungguhnya manusia berada didalam kerugian ”. Jadi apabila seseorang itu dinamakan manusia dan dia akan tetap beada dalam kerugian, tidak kiralah apa pangkat yang dia ada, yang dipertuan agung atau perdana menteri sekalipun dia akan tetap berada dalam kerugian. Tetapi adakah semua manusia rugi? Tidak, ALLAH memberitahu pada ayat ke 3 “kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan kepada kebaikan” jadi bila bercakap tentang iman, perlu lah kita mengenal ALLAH untuk beriman dengannya. Analoginya ‘kita hendak bekerja dengan sebuah restoran tetapi tuan restoran yang kita nak bekerja itu kita tidak kenal, kita hanya masuk restoran dan bekerja, bila sampai waktu gaji, tiba-tiba kita meminta daripada tuan restoran yang tidak pernah kita kenal, adakah tuan restoran akan memberi gaji kepada kita? Tentu tidak, begitu juga ALLAH, jika tuan restoran diibaratkan ALLAH, restoran dunia tempat kita beramal, dan gaji merupakan pahala, apakah yang kita dapat pada waktu menerima kitab amalan ? dalam surah Al Waqiah ada menyebut tentang golongan yang menerima kitab amalan dan bagaimana kesudahan mereka.

Sehubungan dengan itu, nak atau tak nak kita perlu mengenal ALLAH sebelum beriman dengannya, dan untuk mengenal ALLAH saya dah sebutkan di posting yang lepas. Jadi untuk tambahan, ulama usuluddin(tauhid) menjaga pemikiran orang beriman agar tidak menyekutukan ALLAH menyebut dalam kitab mereka “al ‘ajzu ‘anil idraqi idraq” yang bermaksud ‘ otak kita tidak boleh berfikir apa itu ALLAH bermakna kita kenal itulah ALLAH’, sebagai contoh untuk kefahaman pembaca jika kita lihat agama lain, mereka boleh menzahirkan tuhan mereka kerana mereka berfikir tuhan mempunyai tangan seperti kita mempunyai kaki seperti kita, tetapi bagi kita umat islam bila kita berfikir ALLAH ada tangan kaki seperti kita secara automatik otak akan menyangkal bahawa itulah ALLAH sebab kita dapat fikirkan menggunakan fantasi bukan realiti. Pada hakikatnya tiada sesiapa pernah melihat ALLAH, sebab itulah layak bagiNYA diiktiraf sebagai Pencipta.

Selepas kita kenal dan beriman kepada ALLAH barulah kita boleh melakukan amalan soleh, jika difikirkan dari segi struktur ayat, cukup cantik ALLAH susun, beriman dahulu sebelum beramal, dan sebelum beramal perlu ada ilmu. Dan bila bercakap tentang amalan tentang ibadat, umat melayu yang dikatakan islam telah menyempitkan pemikiran mereka dengan berkata ibadah sekadar rukun islam yang lima, sembahyang, puasa, zakat, haji tetapi dalam islam sendiri mengatakan pertama sekali dalam melakukan kerja perlu ada sifat ikhlas, yang mana ikhlas itu bertempatnya di hati (insyallh di posting akan datang saya akan menceritakan tentang hati). Jadi selagi niat kita baik dan cara yang kita lakukan betul mengikut syariat islam, itu dikira ibadah.

Bila bercakap soal niat, ada dikalangan kita berpendapat bahawa selagi aku bercinta aku mengingatkan pasangan aku tentang kehidupan akhirat, atau dia jadi jam loceng aku, aku jadi jam locengnya untuk bangun qiamullail selagi itu aku dikira berbuat baik, dan mereka menyangka disitu terdapat ganjaran daripada ALLAH. Seperti aku dahulu, sewaktu aku berkecimpung dengan couple, first thing yang bermain dalam kepala aku nak bentuk dia jadi muslimah sejati, nak bagi tazkirah setiap hari kononya la, tetapi bila dah bercinta, dah rasa sayang, dah rasa rindu, mulalah tazkirah bertukar ayat-ayat cinta, nak bentuk muslimah sejati, terbentuk muslimah yang ingkar suruhan ALLAH, setelah aku membaca satu cerpen aku terkedu, dan terfikir selama ini apa yang aku buat salah, ape yang aku buat menyimpang dari jalan yang betul, 4 patah perkataan telah mengubah pendirian aku iaitu “matlamat tidak menghalalkan cara ”.


Ingatlah dari mana asal kamu?, kemana kamu akan pergi?

dan kenapa kamu disini?

Dan untuk ibadah juga memerlukan ilmu, sebab ibadah boleh bertukar adat jika tiada ilmu dan adat boleh bertukar kepada ibadah jika kena caranya. Contohnya, jika seseorang tiada ilmu sembahyang hanya ikut orang, orang rukuk dia rukuk orang sujud dia sujud, tetapi dia tidak mempelajari tentang ibadah sesen pahala pun dia tidak dapat. Ada satu kisah tetang ibadah tanpa ilmu, kisah bermula apabila mertua mengajak menantu untuk berjemaah di surau, kebetulan pulak kain pelikat tidak dibawanya, dan menyuruh isterinya mengambil sehelai kain. Isterinya mendapat sehelai kain yang lama milik mertuanya, dia tanpa berlengah memakai dan mengikut mertuanya ke surau, nak dipendekkan cerita ketika rukuk kainnya terkoyak di bahagian belakang, dan makmum yang berada di belakangnya merupakan seorang yang nakal dan menjentik -------nya, oleh kerana tiada ilmu dia mengikut ape yang dilakukan makmum dibelakangnya dan kebetulan dia berada di belakang imam, dia menjentik ----- imam, sambil menahan senak, imam menerajang dia dan dia menerajang balik makmum dibelakangnya, habis satu jemaah rosak kerana tiada ilmu. Bila pulang dia menceritakan kepada isterinya, jika begini sembahyang berjemaah memang letih, nak kna jentik dan terajang, dalam tiap-tiap rakaat pulak tu.

Seterusnya orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan kebaikan. Disini unutk faham contoh paling mudah melalui penulisan blog itu sendiri, menasihati satu sama lain bukan hanya perbincangan sehala, tetapi sama-sama menasihati, tidak kira dia tak alim pun, bila ada salah terus la menegur, kerana teguran itulah yang membentuk kita. Jadi sekadar itulah dahulu untuk posting kali ini, ape yang baik datang daripada ALLAH, apa yang buruk datang dari kelemahan penulis ini sendiri. Jadi jika ada pembaca yang mahu bertanyakan soalan jika tak faham atau berselisih pendapat dengan saya boleh la comment, insyaALLAH saya akan balas di comment tu jugak.

Sekian, Wassalam.



Cintailah ALLAH!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Dengan Nama ALLAH yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani

Cinta? Kepada siapa nak dicurahkan cinta?

Cinta…ramai yang mendefinisikannya sebagai kasih sayang, ada yang menta’arifkan cinta merupakan satu perasaan yang hadir didalam hati terhadap seseorang. Jadi takrif cinta berdasarkan pandangan masing-masing, pada pandangan saya, cinta ialah satu perasaan yang hadir dalam hati. Tetapi yang menjadi persoalan, kepada siapa patut kita curahkan cinta…….. jadi cinta kali ini sesuai dengan tajuk blog ini “kullu minal habibil khair”.

Bila dikatakan cinta, ramai yang berkata merupakan fitrah, cinta datang tanpa aku pinta, dan ada sesetengah manusia berkata cinta itu buta, ia tidak mengira usia, tapi adakah kita terfikir? Dimanakah cinta kita terhadap ALLAH? Yang kita tengok ramai remaja melayu yang mengaku islam menduakan cintanya kepada ALLAH. Kenapa ini berlaku? Antara faktor yang paling utama, ilmu tentang mengenal ALLAH kurang, disebabkan kurang ilmu untuk mengenal ALLAH maka akan timbul dalam hati manusia untuk mengenal makhluk lebih dari kehendak kita untuk ALLAH S.W.T.(mintak jauh).




Carilah cinta ALLAH untuk kesempurnaan hidup.....

Oleh sebab itu, sebagai umat islam patutlah mencari ilmu untuk mengenal ALLAH, kerana dengan mengenal ALLAH barulah akn hadir rasa cinta kepada ALLAH. Dr. 'Aidh Abdullah Al Qarni ada menyebut dalam kitabnya “jika kita mahu rapat hati dengan ALLAH antaranya mengenal ALLAH”. Dalam meringkaskan, bagaimana hendak mengenal ALLAH? “man ‘arafa nafsahu faqad ‘arafa rabbahu” yang bernaksud sesiapa yang kenal diri maka dia akan kenal ALLAH SWT, dari segi dari mana kita datang, kemana kita pergi dan kenapa kita hidup di atas dunia? Barulah kita akan kenal diri kita dan mengenal ALLAH seterusnya mencintai ALLAH.

Jadi berbalik kepada tajuk yg bermaksud : “setiap yang datang dari sang pencinta adalah baik”. Jadi jika masing-masing berfikir, adakah betul setiap yang datang dari kekasih itu baik? Sesiapa yang pernah bercinta akan berkata ya…..kerana ape yang dilakukan kekasih, samada marah, benci, dan seumpamanya akan menjadi baik apabila kita mengasihinya. Jadi untuk kefahaman para pembaca saya bawa satu kisah tentang seorang ulama besar yang bercinta dengan ALLAH. Ketika beliau sedang tawaf di masjidil haram, tiba-tiba beliau terpijak kaca, dan beliau tidak membuang kaca tersebut sehingga anak-anak muridnya mengerumun beliau, dan bertanya adakah tuan guru merasakan kesakitan?.

Disini jika kita berada di tempat beliau apakah jawapan kita, apabila ditanyakan solan sedemikian. Sudah tentu akan keluar sumpah seranah, antaranya bukan nak tolong buang, boleh tanya sakit atau tidak. Tetapi apa yang dijawab oleh ulama berkenaan hanyalah senyuman dan berkata “kullu minal habibil khair”, masyaALLAH. Beginilah sesiapa yang bercinta dengan ALLAH, setiap yang datang dari Sang Pencinta(ALLAH) adalah baik. Sehinggakan kaca yang terkena dikakinya tidak dibuang kerana merasa nikmat dengan pemberian Kekasihnya. Sama-samalah kita muhasabah diri kita balik, sejauh mana cinta kita kepada ALLAH dan sedalam mana cinta kita kepada Islam.


Cinta yang diredhai dalam mencari cinta ALLAH

melalui jalan yang dihalalkan ALLAH.......

Saya dapat analogi dari seorang sahabat, setelah dia mengetahui yang saya bercinta. Dan saya betul-betul terkesan dengan analogi yang diberitahu. Jika pembaca ingin mengetahui analogi tersebut ialah tentang hati yang diibaratkan seperti gelas, dia bertanya kepada saya “jika hati ini ibaratkan gelas, dan air yang dicurahkan kedalamnya diibaratkan cinta, kemanakan cinta ALLAH jika cinta manusia memenuhi gelas sebelum cinta ALLAH ”. terkelu lidah untuk menjawab. Baru ku sedar, diriku sudah jauh tersimpang dari jalan yang sebenarnya.

Jadi setakat itu perkongsian saya terhadap cinta, kepada siapa untuk dicurahkan bergantung kepada diri anda sendiri, tepuk dada, tanyalah iman sedara dan sedari sekalian. Apa yang baik datang dari ALLAH, apa yang buruk datang dari kelemahan diri penulis ini sendiri. Jadi jika ada kesalahan dalam penulisan ini harap menegur dan kita boleh bermuzakarah jika berbeza pendapat.

Sekian sahaja, Wassalam.

PERUBAHAN DIRI!!!!!!!




Alhamdulillah terdetik hati untuk berkongsi pengalaman. Yang baik dijadikan amalan, dan yang buruk dijadikan sempadan. Suatu ketika dulu diri ini sangat jahil tentang ilmu agama. Aku tak pernah untuk cuba mendalami ilmu agama, mencari apakah itu islam. Diri ini leka dengan hiasan dunia yang telah disebut di dalam al- quran, yang bermaksud “AKU (ALLAH) hiaskan dalam diri manusia, suka kepada wanita, suka kepada anak-anak, kuda yang berjenama (kereta dalam konteks dunia sekarang), emas dan sutera”. Manusia ini ALLAH dah setupkan, manusia ini dah disettingkan oleh ALLAH dengan hiasan-hiasan dalam ayat tersebut. Salah satunya wanita, yang mana diri ini pernah lalai kerana cinta manusia. Aku dulu pernah terlibat dengan fitnah wanita, pernah melakukan dosa, walaupun diri ini dibesarkan dalam keluarga yang ayahnya memberi peringatan kepada anak isterinya tiap malam, yang ayahnya memberi peringatan tentang kehidupan akhirat dan yang paling penting ingatan ayah terhadap seorang anak tentang cinta ALLAH.

Adakah anaknya menerima ape yang diberi? Bagi aku ape yang diingatkan oleh seorang ayah hanyalah masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, malam ayah bagi tazkirah siang anak melakukan ape yang ditegah, dimanakah kesedaran diri ini?, dimanakah amalan seorang yang bergelar muslim terhadap ilmu yang dia dapat?. Setelah mendapat keputusan SPM aku diterima masuk ke matrikulasi, sebelum berangkat untuk menuntut ilmu, bermacam-macam janji diberikan untuk yang disayangi. Antaranya akan ku tunggu dikau walau jauh dimata tetapi hatiku hanya mu. Disebabkan dia tidak dapat apa yang kami sama-sama idamkan. Kita merancang tetapi yang menentukan hanya ALLAH.

Matrikulasi banyak mengubah aku, banyak yang aku jahil, terutamanya tentang kehidupan islam itu sendiri. Di matrikulasi aku terlibat dengan ajk surau, terpilih disebabkan sekolah agama, tetapi aku menerima tugas yang diberikan dengan penuh iklas. Di matrikulasi, diri ini bertemu sahabat-sahabat yang dapat mengingatkan, menegur, dan mengajar diri ini tentang apa itu islam. Hari demi hari diri ini makin mengenal islam, makin hari makin dipraktikkan kehidupan seseorang muslim yang beriman kepada ALLAH, kerana dikalangan rakan-rakan menyatakan ALLAH tidak bercakap dengan orang islam, ALLAH hanya bercakap dengan manusia dan orang yang beriman, kerana di dalam Al-Quran tidak terdapat “wahai orang-orang islam” yang terdapat dalam AL-Quran hanyalah “wahai orang-orang beriman” dan “wahai manusia”. Diri ini terfikir, sejauh mana amalan aku untuk bertemu ALLAH S.W.T? aku menangis dan terus menangis, kenapa aku dulu tidak berusaha untuk mencari keredhaan ALLAH?

Aku bersyukur kerana telah ditemukan sahabat-sahabat AJK surau, yang telah banyak membantu diri ini berubah, tetapi bagaimana dengan cinta yang dulu aku pertahankan? Aku mengumpul kekuatan diri untuk memutuskan ape yang aku dulu mulakan. Alhamdulillah, aku berjaya, sehingga hari ini aku masih mengingatkan member yang aku berhubung dengan ilmu yang aku dapat. Aku banyak berkongsi pengalaman dengan member yang pernah terlibat dengan cinta manusia, samada ia berguna atau tidak, sekurang-kurangnya aku berusaha untuk mengubah dan disamping itu memberi perubahan kepada diri aku. Aku harap perubahan diri yang dikongsikan dapat mengubah persepsi tentang cinta manusia. “Cinta manusia tidak bernilai apa-apa selagi tiada cinta ALLAH”. Kepada sahabat yang bertentangan pendapat boleh comment, insyaALLAH kita boleh bermuzakarah.